Rabu, 22 Disember 2010

HENTIKAN MEROKOK




Rokok merupakan stimulan yang mudah diperolehi; namun ketagihan merokok bukanlah satu perkara yang mudah di atasi. Sungguhpun merokok tidak dianggap sebagai penyakit namun merokok itu mensabitkan kesihatan yang serius.

Dalam masa beberapa minit setelah menyatakan sebatang rokok atau cerut, tekanan darah akan meningkat dan kadar nadi juga meningkat; tahap oksigen langsung jatuh. Setelah beberapa bulan merokok, kita akan dapat melihat beberapa simpotom yang menjejas kesihatan seperti sinus, batuk, keletihan, sesak nafas.

Dari aspek fizikal, kesan merokok dapat dikesan melalui jari-jari memegang rokok menjadi lebam, demikian juga halnya dengan bibir yang warnanya menjadi birat, dan gigi pula bertukar warna menjadi kekuningan. Keadaan menjadi lebih menjijikkan apabila badan dan baju mula berbau rokok;sehingga rambut juga sudah sebati dengan bau tembakau. Jika dibiarkan ketagihan merokok berpanjangan akan membawa kepada kanser, sakit paru-paru, sakit jantung, dan lumpuh.

Rokok mengandungi nikotin di samping 16 lagi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Nikotin, bahan dadah ketagihan yang didapati daripada tembakau, menjejaskan kesihatan: sama ada kesihatan fizikal mahupun kesihatan otak.

Nikotin yang sampai ke otak akan meringankan semangat dan mententeramkan kegusaran. Inilah kononnya ’keistimewaan’ nikotin : ia dapat menaikkan semangat dan menenteramkan diri. Namun kesan itu hanya untuk sementara. Apabila berhenti merokok, tahap nikotin merosot dan perokok mula mengalami bermacam kesakitan fizikal.

Mungkin anda pernah melihat ada orang yang merokok sebelum makan, ada pula yang merokok selepas makan. Merokok sebelum makan dapat mengurangkan rasa lapar, dan merokok selepas makan dapat menghindar seseorang daripada rasa mengantuk. Semua kesan ini berlaku kerana tindakan nikotin ke atas hormon adrenal, gula darah, dan kimia otak.

Nyata sekali nikotin ini besar bahayanya walaupun diambil secara berdikit-dikit. Sekiranya anda tidak pernah memegang rokok, syabas. Jika anda sudah berada pada tahap ketagihan, ada baiknya jika dapat diusahakan supaya ketagihan itu dapat dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga anda bebas dari cengkaman maut rokok itu.

Dipetik daripada :Majalah Cahaya, Oktober 2003, m/s 28.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan